Monday 23 April 2012

Petikan Babak 23


Syahadan  apabila  melihat  ramai  Melayu  mati  ditembak  Portugis, Tun  Pikrama  Wira  berlari  semula  ke dalam  Kota  Kara  yang  yang  masih  berdiri  gah  walaupun  dindingnya  sudah  berlubang  di sana  sini. Dipanggilnya  semua  pemanah  Melayu  agar  naik  ke atas  tembok  kota  itu. Tun  Pikrama  Wira  memegang  erat  busur  kayu  akar  Larak  Pasung  kesayangannya  itu. Anak  panah  berbisa  pula  kelihatan  penuh  di bakul  rotan  yang  sedang  digalasnya. Beliau  memandang  ke arah  pantai, tempat  sedang  berlangsungnya  perang  yang  amat  dasyat  itu. Di kiri  dan  kanannya  sedang  berbaris  puluhan  pemanah  tentera  Melayu, sedia  menanti  arahan  untuk  melepaskan  anak  panah.
           
Seri  Amar  Bangsa  menoleh  ke  arah  Tun  Pikrama  Wira, beliau  mengangguk  memberi  isyarat. Tun  Pikrama  Wira  meletakan  anak  panah  berbisanya  itu  pada  busur, begitu  juga  dengan  sekalian  pemanah  Melayu  di situ. Seri  Amar  Bangsa  yang  sedang  asyik  bertempur  itu  kemudiannya  menoleh  ke  arah  Sang  Setia  dan  sekalian  panglima  dan  hulubalang  yang  ada. Seketika  kemudian  Seri  Amar  Bangsa  menjerit  pada  sekalian  Melayu  agar  berundur  ke pintu  kota.
           
Sekalian  Melayu  yang  ada  akur  lantas  berundur. Garcia  de  Sa  yang  menyangkakan  pasukan  tentera  Melayu  sudah  menyerah  kalah,  terus  mengarahkan  agar  pasukannya  mengejar  dan  membunuh  sekalian  Melayu  yang  ada. Garcia  de  Sa  menjulang  tinggi  pedangnya, ketika  itu  askar – askar  Portugis  sedang  galak  mengejar  tentera  Melayu  yang  sedang  berundur. Seri  Amar  Bangsa  terus  menjerit  agar  sekalian  Melayu  terus  berundur.
           
Garcia  de  Sa  tersenyum, kakinya  mula  melangkah  bongkak  menuju  ke  pintu  kota. Hatinya  berbisik  dengan  yakin  bahawa  Melayu  akan  kalah  pada  hari  itu. Sambil  menghayunkan  pedangnya  beliau  bertempik. Tiba – tiba  mata  Garcia  de  Sa  terpandang  akan kelibat  Tun  Pikrama  Wira  dan  pasukan  pemanah  Melayu  yang  sedia  berdiri  di atas  pintu  kota  sambil  tangan  menarik  tali  busur  masing – masing.

No comments:

Post a Comment