Monday 23 April 2012

Petikan Babak 36


M aka  ketika  itu  suara  tempik  sekalian  Portugis bergema memecah  langit. Senapang – senapang  mereka  dihentakan  ke tanah, tangan  mereka  menumbuk – numbuk  dada. Tanah  Kota  Kara  bergegaran, batu – batu  kecil  berloncatan. Tujuh  ekor  gajah  bertempik  nyaring, belalai  dijulang  tinggi.
                                                                             
            

Syahadan  ketika  itu  Hang  Nadim  pun  menoleh  ke  arah  sekalian  Melayu. Matanya  sebak , hatinya  tersentuh  bercampur  perasaan  bangga  tatkala  melihat  Sang  Setia  sedang  mengetuai  sekalian  Melayu  itu  berarak  mara  ke medan  perang. Walaupun  mereka  tahu  ribuan  bala  tentera  Portugis  sedang  menanti  dengan  senapang  dan  pedang, namun  semangat  juang  untuk  mempertahankan  bangsa  dan  negeri  tidak  pernah  pudar  walau  sedikitpun.
           
Suara  sorak  dan  tempik  sekalian  Portugis  semakin  kuat  kedengaran, burung – burung  berterbangan  keluar  dari  rimba  dek  gentar  dan  takut  tatkala  mendengar  sorakan  tersebut. Sang  Setia  tersenyum  memandang  Hang  Nadim, Panglima Paduka  Tuan  memandang  menantunya, Tun  Hamzah  dengan  penuh  rasa  bangga. Sekalian  pahlawan  berkuda  Bentara  Arami  mula  menggertak  kuda  mereka  lalu  memacu  di kiri  dan  kanan  barisan  angkatan  Melayu.
           
“Tetapkanlah  hati  kalian, kerna  hari  ini, tiada  Melayu  yang  akan  mati !” Laung  Hang  Nadim  tatkala  barisan  angkatan  Melayu  sudah  berada  hampir  dengan  dirinya.
           
“ Dengar  sekalian  Portugal !” Laung  Jeorge  de  Alburqe, matanya  masih  tertumpu  ke arah  angkatan  Melayu  yang  sedang  berkumpul  di tengah  Kota  Kara. Hatinya  masih  lagi  berdendam  dan  dipenuhi  dengan  rasa  amarah.
           
“ Bertempurlah  kalian  demi  raja  dan  tanah  Portugal. Bunuh  dan  hapuskan  sekalian  Melayu  yang  dilaknat  tuhan  itu. Jika  mati  jua  kita  kelak, maka pintu – pintu  di syurga  sedang  terbuka  menanti  kedatangan  sekalian  kita, akan  kerana  kita  ini,  bangsa  yang  dipilih  tuhan !!!” Kata – kata  Jeorge  de  Alburque  itu  membuatkan  sekalian  angkatan  Portugis  berasa  semangat  dan  yakin.
           
Awan  nipis  mula  berarak  perlahan  dari  arah  laut, menjadi  payung  untuk  sekalian  mereka  dari  terik  bahang  Matahari  yang  sedang  memancar  terang. Ketika  itu, angkatan  Melayu  yang  cuma  berjumlah  hampir  seribu  orang, sedang  berdiri  teguh  menghadap  beribu – ribu  angkatan  tentera  Portugis  yang  sedang  berbaris  garang. Sang  Setia, Tun  Hussein, dan  Panglima  Paduka  Tuan  melangkah  ke hadapan, berdiri  di sisi  Hang  Nadim, Tun  Hamzah, dan  Panglima  Aryamada.
           
Gendang  perang  Portugis  dipalu  kedengaran  semula, hati  sekalian  hulubalang  Inderagiri  menjadi  sedikit  berdebar. Tangan  mereka  menggenggam  erat  pedang  dan  sundang, namun  mereka  tahu, setajam  mana  pedang  dan  juga  sudang  mereka  sekali pun, masih  jua  tidak  mampu  untuk  melindungi  nyawa  mereka  dari  asakan  ribuan  peluru  dan  mata  pedang  tirus  sekalian  Portugis  di hadapan  mereka  itu. Hati  mereka  berserah  sepenuhnya  kepada  Allah.
           
Tiga  ribu  orang  tentera  Portugis  mula  melangkah  kehadapan  setelah  mendapat  arahan  dariapda  Jeorge  de  Alburque. Sepuluh   ribu  lagi  masih  sedia  menanti  di tembok  gerbang  Kota  Kara. Lima  puluh  pegawai  berkuda  memacu  kuda  mereka, mengetuai  tiga  ribu  orang  tentara  Portugis  yang  sedang  mula  berarak  itu. Sambil  melangkah, tangan  mereka  mengacukan  muncung  senapang  ke  arah  sekalian  Melayu, jari telunjuk  diletakan  di picu  senapang, bersedia, hanya  menanti  arahan  untuk  melepaskan  tembakan.
           
Hang  Nadim  dan  sekalian  sahabatnya  sedia  menanti. Panglima  Paduka  Tuan  sudah  mengeluarkan  Pedang  Cura  si  Manjakani  dari  sarungnya. Pedang  tersebut  dijulangnya  tinggi, serentak  dengan  itu  sekalian  hulubalang  Inderagiri  menjulang  pedang  dan  sundang  mereka  sambil  bertempik  kuat.
           
Wajah  Panglima  Aryamada  mula  menyinga, bengis, keningnya  yang  tebal  dikerutkan,  hatinya benci  memandang  barisan  Portugis  yang  sedang  berarak  itu. Dua  bilah  lading  berhulu  gading  sudah  kelihatan  tersembunyi  di belakang  lengan  Tun  Hamzah, kaki  kanannya  mula  bertapak  ke belakang  seakan  gaya  orang  yang  sedang  bersedia  untuk  menggempur.
           
Bentara  Arami  menjeling  ke  arah  sekalian  pahlawannya  yang  berada  di kiri  dan  kanan  barisan, tangan  kanannya  di angkat  tinggi  sebagai  tanda  kepada  mereka  agar  bersiap  sedia. 

Tangan  kiri  Sang  Setia  kelihatan  sudah  sedia  memegang  Keris  Terasik  Rama  yang  masih  berada  di dalam  sarungya. Beliau  kemudian  menoleh  ke  arah  Hang  Nadim, laksamana  Melayu  itu  seperti  biasa  masih  dillihat  berada  di dalam  keadaan  tenang  walaupun  yang  sedang  berarak  menghampiri  mereka  itu  adalah  tiga  ribu  angkata  Portugis  bersenjata  lengkap.
            

Petikan Babak 33


Ketika  itu  di luar  gudang  yang  besar  di belakang  istana, Seri  Nara  al-Diraja  sedang  bertungkus – lumus  memujuk  sekalian  penduduk  dan  askar  untuk  keluar  berjuang  mempertahankan  istana.
           
“Untuk  apa  kita  berjuang  sedangkan  kita  semua  sudah  tahu  akan  akibatnya  kelak !” Jawab  seorang  lelaki  yang  agak  tua  di situ.
           
“Dari  kita  diam  berpeluk  tubuh  melihat  negeri  ini  hancur, ada  baiknya  kita  mengangkat  senjata.” Kata  Seri  Nara  al-Diraja  yang  masih  cuba  memujuk  sekalian  mereka  itu.

“Kami  lebih  rela  berlindung  di sini, dari  ditembak  mati  di luar  sana.” Kata  seorang pengawal  istana  pula.
           
“Mahukah  kalian  kelak  kita  ini  bertuankan  Feringgi  yang  kafir  itu ?” Soal  Seri  Nara  al-Diraja. Sekalian yang  ada  kelihatan  diam  membisu.
           
“Ahhh  tiada  kiranya  siapa  yang  memegang  kerajaan, kami  rakyat  tetap  jua  tertindas !” Lelaki  yang  tua  tadi  menjawab  keras.
           
“Tiada  pernah  kita  menyangka  rakyat  Bentan  sebegini  rupa.” Keluh  Seri  Nara  al-Diraja  kecewa.
           
“Mengapa  harus  kita  berjuang  demi  raja  itu  sedangkan  nyawa  anak  isteri  kita  didalam  bahaya. !” Kata  seorang  lelaki   yang  sedang  mendodoikan  seorang  bayi  kecil  di dalam  dakapannya.
           
“Jika  benar  Sultan  Mahmud  itu  sayangkan  rakyatnya, menyerahlah  sahaja  kepada  Feringgi  itu. Kita  semua  tidak  akan  diapa – apakan  mereka. Menyerahlah !” Cadang  seorang  lagi  lelaki  yang  mula  melangkah  merapati  Seri  Nara  al-Diraja.
           
“Demikianlah  kata  tuan – tuan  sekalian, jika  diikutkan  tiada  bezanya  hamba  dengan  tuan – tuan.” Kata  Seri  Nara  al-Diaraja  memandang  sekalian  yang  ada. Pandangan  matanya  mencerminkan  hati  yang  sedang  kecewa. Beliau  kemudian  menyambung  semula  kata – katanya,
           
“Apa  istimewanya  yang  tuan – tuan  sekalian  hinggakan  sombong  tidak  mahu  mempertahankan  raja. Lupakah   tuan – tuan   akan  bapa  hamba  itu, siapatah  yang  membunuhnya ?! Bukankah  raja  kita  itu ?! Tetapi  sekarang  hamba  balas  dengan  berbuat  kebaktian  kepada  baginda !” Kata – kata  Seri  Nara  al-Diraja  itu  membuatkan  sekalian  yang ada  diam  dan  berfikir.
           
Tiba – tiba  terdengar  bunyi  letupan  meriam  bertalu – talu  dari  arah  luar  istana. Seri  Nara  alDiraja  menoleh. Begitu  juga  dengan  sekalian  yang  ada. Lantas  Seri  Nara  al-Diraja  mula  berlari  ke kawasan  perkarangan  istana  untuk  melihat  apa  yang  sedang  terjadi. Bunyi  meriam  kedengaran  sekali  lagi.

Petikan Babak 32


“Dato’  Abintara  ambil  kuda  ini, pergi  kawal  sempadan  istana !” Arah  Tun  Hamzah  pada  Tun  Nara  Wangsa.
           
Tun  Nara  Wangsa  akur  lalu  terus  memanjat  kuda  Tun  Hamzah  dan  memacunya  ke  arah  Tun  Hussein  dan  Panglima  Paduka  Tuan  yang  sedang  bertahan  bersunguh – sungguh  di sempadan  istana  tersebut.

Tun  Hamzah  tersenyum  memandang  Sang  Setia, lading  di tangan  kanannya  digenggam  kemas  bersedia  untuk  bertempur.
           
“Dato’  Panglima  pergilah  berehat  kerana  dato’  itu  panglima  tua. Biar  hamba  yang  selesaikan  segala  mereka  di sini.” Kata  Tun  Hamzah  sinis  ke  arah  Sang  Setia.
           
Sang  Setia  tersenyum  tatkala  mendengar  usikan  daripada  Tun  Hamzah  itu. Beliau  kenal  benar  akan  sifat  sahabatnya  itu  yang  gemar  berlagak  dan  bercakap  besar, akan  tetapi   sesuai  dengan  ilmu  yang  ada  pada dirinya.
           
“Mari  semua !!!” Tun  Hamzah  bertempik  penuh  semangat  ke  arah  ratusan  angkatan  Portugis  yang  sedang  mara  ke  arahnya. Sang  Setia  berundur  beberapa  tapak, melindungi  Tun  Hamzah  jika  ada  yang  cuba  menyerang  daripada  belakang.
           
Serentak  dengan  itu  ratusan  tentera  Portugis  mengerumuni  Tun  Hamzah. Dengan  tenang  Tun  Hamzah  mengelak  serangan  mereka  seorang  demi  seorang  lalu  menghiris  ladingnya  ke  arah  tubuh – tubuh  tentera  Portugis  tersebut. Ada  yang  terbelah  tekaknya, ada  yang  terburai  isi  perutnya, ada  terhiris  hidung  dan  matanya. Semuanya  berlaku  dalam  sekelip  mata, pergerakan  Tun  Hamzah  kelihatan  sungguh  pantas  dan  tangkas. Sesekali  beliau  tersenyum  menjeling  Sang  Setia.
           
“Tun  Hamzah  bertempur  seakan – akan  orang  Feringgi  itu  lagi  budak – budakan  baginya.” Bisik  hati  Sang  Setia  tatkala  melihat  kehebatan  ketua  panglima  Bentan  itu.

Petikan Babak 27


Hatta  pada  malam  itu  sekalian  anak – anak  kecil  yang  menangis, lelaki  dan  perempuan  yang  merayu  dan  meronta  semuanya  terdiam  lalu  mati, rebah  ke bumi  akibat  terkena  libasan  pedang  tentera  Portugis  yang  tidak  berperikemanusiaan  itu. Bayi – bayi  yang  masih  di dalam  buaian  dibakar  hidup – hidup. Esak  tangis  mereka  akibat  bahang  api  yang  marak  semakin  lama  semakin  perlahan,  sayup  hilang  tidak  kedengaran  lagi.

Dikatakan  orang  ketika  itu  ada  seorang  alim  yang  menjadi  imam  besar  di dalam  Kota  Tengkilu. Syahadan  setelah  imam  tersebut  mendengar  akan  perihal  Feringgi  melanggar  Tengkilu, segera  diarahkan  sekalian  anak  bini  dan  orang – orang  kampung  agar  berlindung  di dalam  masjid  kampung  tersebut. Sangka  mereka  tentera  Feringgi  tidak  akan  mengganggu  dan  mencemari  tempat  beribadat.
           
Namun  sangkaan  mereka  silap. Setelah  habis  rumah – rumah  penduduk  dibakar, tentera  Feringgi  beralih  pula  ke arah  masjid  tersebut. Dengan  sepatu  yang  dipenuhi  tanah  dan  lumpur, mereka  melangkah  masuk  mengotori  kawasan  suci  penduduk  Tengkilu  yang  sering  digunakan  untuk  berjemaah  dari  sehari ke  sehari  itu. Maka  imam  dan  segala  lelaki  tidak  bersenjata  yang  ada  di situ  semuanya  mati  dibunuh.
           
Di dalam  masjid  itu  juga  mereka  memperkosa  wanita  dan  kanak – kanak. Mana  yang  cantik  diserahkan  dahulu  kepada  pegawai – pegawai  besar. Mana  yang  tinggal  akan  diperkosa  oleh  tentera  Feringgi  bergilir – gilir. Barang  yang  melawan  akan  ditampar  dan  diterajang  seperti  anjing  yang  hina. Terlalu  kejam  perilaku  sekalian  mereka  ketika  itu. Anak  dirogol  di hadapan  mayat  bapanya, isteri  diperkosa  di hadapan  suami  yang  tidak  terdaya  untuk  melawan  lagi.

Petikan Babak 23


Syahadan  apabila  melihat  ramai  Melayu  mati  ditembak  Portugis, Tun  Pikrama  Wira  berlari  semula  ke dalam  Kota  Kara  yang  yang  masih  berdiri  gah  walaupun  dindingnya  sudah  berlubang  di sana  sini. Dipanggilnya  semua  pemanah  Melayu  agar  naik  ke atas  tembok  kota  itu. Tun  Pikrama  Wira  memegang  erat  busur  kayu  akar  Larak  Pasung  kesayangannya  itu. Anak  panah  berbisa  pula  kelihatan  penuh  di bakul  rotan  yang  sedang  digalasnya. Beliau  memandang  ke arah  pantai, tempat  sedang  berlangsungnya  perang  yang  amat  dasyat  itu. Di kiri  dan  kanannya  sedang  berbaris  puluhan  pemanah  tentera  Melayu, sedia  menanti  arahan  untuk  melepaskan  anak  panah.
           
Seri  Amar  Bangsa  menoleh  ke  arah  Tun  Pikrama  Wira, beliau  mengangguk  memberi  isyarat. Tun  Pikrama  Wira  meletakan  anak  panah  berbisanya  itu  pada  busur, begitu  juga  dengan  sekalian  pemanah  Melayu  di situ. Seri  Amar  Bangsa  yang  sedang  asyik  bertempur  itu  kemudiannya  menoleh  ke  arah  Sang  Setia  dan  sekalian  panglima  dan  hulubalang  yang  ada. Seketika  kemudian  Seri  Amar  Bangsa  menjerit  pada  sekalian  Melayu  agar  berundur  ke pintu  kota.
           
Sekalian  Melayu  yang  ada  akur  lantas  berundur. Garcia  de  Sa  yang  menyangkakan  pasukan  tentera  Melayu  sudah  menyerah  kalah,  terus  mengarahkan  agar  pasukannya  mengejar  dan  membunuh  sekalian  Melayu  yang  ada. Garcia  de  Sa  menjulang  tinggi  pedangnya, ketika  itu  askar – askar  Portugis  sedang  galak  mengejar  tentera  Melayu  yang  sedang  berundur. Seri  Amar  Bangsa  terus  menjerit  agar  sekalian  Melayu  terus  berundur.
           
Garcia  de  Sa  tersenyum, kakinya  mula  melangkah  bongkak  menuju  ke  pintu  kota. Hatinya  berbisik  dengan  yakin  bahawa  Melayu  akan  kalah  pada  hari  itu. Sambil  menghayunkan  pedangnya  beliau  bertempik. Tiba – tiba  mata  Garcia  de  Sa  terpandang  akan kelibat  Tun  Pikrama  Wira  dan  pasukan  pemanah  Melayu  yang  sedia  berdiri  di atas  pintu  kota  sambil  tangan  menarik  tali  busur  masing – masing.

Petikan Babak 10


Beberapa  ketika  kemudian, beribu – ribu  anak  panah  melayang  melindungi  sinar  fajar,  langit  kelihatan  gelap  seketika. Ribuan  anak  panah  itu  kemudiannya  menjunam  deras  ke  arah  tentera  Portugis. Bunyi  tembakan  kini  berganti  dengan  suara  beberapa  tentera  Portugis  mengerang  kesakitan. Kelihatan  ramai  tentera  Portugis  tersungkur  menahan  pedih  bisa  dari  mata  panah  tersebut. Barisan  memanah  meletakan  anak  panah  baru  pada  busur  kayu, mereka  sudah  bersedia.
            
         Tentera  Melayu  mula  menemui  semangat  baru. Tun  Hussein  menoleh  semula  ke  arah  pintu  gerbang  kota, sedia  menanti  kedatangan  para  tentera  Portugis  yang  kian  hampir  itu. Wajah  beliau  berubah  garang, tangan  kirinya  mencapai  panji  merah  yang  dihulurkan  oleh  salah  seorang  hulubalang  di situ. Jejari  di tangan  kanannya  dimain – mainkan  pada  hulu  pedang  yang  sedang  bergetar  seakan  mencabar  sekalian  penjajah  yang  sedang  mara.
            
         Sang  Setia  mengangguk  apabila  menerima  arahan  daripada  Panglima   Paduka  Tuan. Beliau  dan  para  tenteranya  menoleh  ke  arah  para  tentera  Portugis  yang  sedang  mara  dari  arah  Timur. Satu  senyuman  diukirkan  di bibirnya, dirinya  sudah  tidak  sabar  lagi  ingin  mencabut  nyawa  sekalian  penjajah  yang  ada  di hadapanya  itu. Barisan  tentera  Melayu  di belakangnya  mula  menghentakan  kaki  mereka  secara  serentak  ke tanah, bunyi  hentakan  tersebut  bergema  kuat.
            
         Para  hulubalang  di belakang  Tun  Hussein  pula  sedang  bersedia  mengatur  tapak. Mata  mereka  hanya  memandang  wajah – wajah  penjajah  yang  bongkak  itu. Hati  mereka  sudah  tidak  sabar  lagi  untuk  bertempur.
            
            Hati  Tun  Hussein  menyebut  kalimah  Allah,  memohon  izin  dan  perlindungan. Beliau  kemudian  bertempik  mengumpul  semangat. Seketika  kemudian  Tun  Hussein  dan  sekalian  hulubalang  yang  ada  mula  berlari  menggempur  tentera  Portugis  di hadapan  mereka  itu. Meninggalkan  Panglima  Paduka  Tuan  dan  sekalian  tentera  yang  masih  bersedia  di belakang. Beberapa  tembakan  dilepaskan  oleh  tentera  Portugis. Ada  diantara  hulubalang  Melayu  yang  jatuh  tersungkur.
            
          Tun  Hussein  melompat  tinggi  melepasi  barisan  pertama  tentera  Portugis. Rata – rata  tentera  Portugis seperti  terkejut  kerana  bagaimana  seorang  yang  lebar  badannya  itu  boleh  melompat  sebegitu  tinggi. Mereka  tidak  tahu, bukan  itu  sahaja  kelebihan  yang  ada  pada  diri  sekalian  pendekar  Melayu.
            
           Tun  Hussein  mencabar  sekalian  tentera  Portugis  yang  ada. Pedangnnya  dilayangkan  ke  arah  leher  dan  kaki  setiap  tentera  Portugis  di sekelilingnya  itu. Ramai  yang  rebah  tiada  lagi  bernyawa. Hulubalang  Melayu  yang  lain  juga  mula  bertempik  membeliakan  mata, garang,  seakan  sekawan  serigala  yang  dahagakan  darah. Walaupun  ramai  sahabat  mereka  yang  terkena  tembakan, namun  semangat  juang  mereka  masih  lagi  tinggi. Mereka  menggempur  barisan  hadapan  tentera  Portugis  itu  sepenuh  tenaga.

Tuesday 17 April 2012

Promosi April

PEMBAYARAN POS PERCUMA UNTUK 100 PELANGGAN PERTAMA !!!


Harga buku hanya RM39.90  (termasuk cas penghantaran)