Monday 23 April 2012

Petikan Babak 10


Beberapa  ketika  kemudian, beribu – ribu  anak  panah  melayang  melindungi  sinar  fajar,  langit  kelihatan  gelap  seketika. Ribuan  anak  panah  itu  kemudiannya  menjunam  deras  ke  arah  tentera  Portugis. Bunyi  tembakan  kini  berganti  dengan  suara  beberapa  tentera  Portugis  mengerang  kesakitan. Kelihatan  ramai  tentera  Portugis  tersungkur  menahan  pedih  bisa  dari  mata  panah  tersebut. Barisan  memanah  meletakan  anak  panah  baru  pada  busur  kayu, mereka  sudah  bersedia.
            
         Tentera  Melayu  mula  menemui  semangat  baru. Tun  Hussein  menoleh  semula  ke  arah  pintu  gerbang  kota, sedia  menanti  kedatangan  para  tentera  Portugis  yang  kian  hampir  itu. Wajah  beliau  berubah  garang, tangan  kirinya  mencapai  panji  merah  yang  dihulurkan  oleh  salah  seorang  hulubalang  di situ. Jejari  di tangan  kanannya  dimain – mainkan  pada  hulu  pedang  yang  sedang  bergetar  seakan  mencabar  sekalian  penjajah  yang  sedang  mara.
            
         Sang  Setia  mengangguk  apabila  menerima  arahan  daripada  Panglima   Paduka  Tuan. Beliau  dan  para  tenteranya  menoleh  ke  arah  para  tentera  Portugis  yang  sedang  mara  dari  arah  Timur. Satu  senyuman  diukirkan  di bibirnya, dirinya  sudah  tidak  sabar  lagi  ingin  mencabut  nyawa  sekalian  penjajah  yang  ada  di hadapanya  itu. Barisan  tentera  Melayu  di belakangnya  mula  menghentakan  kaki  mereka  secara  serentak  ke tanah, bunyi  hentakan  tersebut  bergema  kuat.
            
         Para  hulubalang  di belakang  Tun  Hussein  pula  sedang  bersedia  mengatur  tapak. Mata  mereka  hanya  memandang  wajah – wajah  penjajah  yang  bongkak  itu. Hati  mereka  sudah  tidak  sabar  lagi  untuk  bertempur.
            
            Hati  Tun  Hussein  menyebut  kalimah  Allah,  memohon  izin  dan  perlindungan. Beliau  kemudian  bertempik  mengumpul  semangat. Seketika  kemudian  Tun  Hussein  dan  sekalian  hulubalang  yang  ada  mula  berlari  menggempur  tentera  Portugis  di hadapan  mereka  itu. Meninggalkan  Panglima  Paduka  Tuan  dan  sekalian  tentera  yang  masih  bersedia  di belakang. Beberapa  tembakan  dilepaskan  oleh  tentera  Portugis. Ada  diantara  hulubalang  Melayu  yang  jatuh  tersungkur.
            
          Tun  Hussein  melompat  tinggi  melepasi  barisan  pertama  tentera  Portugis. Rata – rata  tentera  Portugis seperti  terkejut  kerana  bagaimana  seorang  yang  lebar  badannya  itu  boleh  melompat  sebegitu  tinggi. Mereka  tidak  tahu, bukan  itu  sahaja  kelebihan  yang  ada  pada  diri  sekalian  pendekar  Melayu.
            
           Tun  Hussein  mencabar  sekalian  tentera  Portugis  yang  ada. Pedangnnya  dilayangkan  ke  arah  leher  dan  kaki  setiap  tentera  Portugis  di sekelilingnya  itu. Ramai  yang  rebah  tiada  lagi  bernyawa. Hulubalang  Melayu  yang  lain  juga  mula  bertempik  membeliakan  mata, garang,  seakan  sekawan  serigala  yang  dahagakan  darah. Walaupun  ramai  sahabat  mereka  yang  terkena  tembakan, namun  semangat  juang  mereka  masih  lagi  tinggi. Mereka  menggempur  barisan  hadapan  tentera  Portugis  itu  sepenuh  tenaga.

No comments:

Post a Comment