Monday 23 April 2012

Petikan Babak 33


Ketika  itu  di luar  gudang  yang  besar  di belakang  istana, Seri  Nara  al-Diraja  sedang  bertungkus – lumus  memujuk  sekalian  penduduk  dan  askar  untuk  keluar  berjuang  mempertahankan  istana.
           
“Untuk  apa  kita  berjuang  sedangkan  kita  semua  sudah  tahu  akan  akibatnya  kelak !” Jawab  seorang  lelaki  yang  agak  tua  di situ.
           
“Dari  kita  diam  berpeluk  tubuh  melihat  negeri  ini  hancur, ada  baiknya  kita  mengangkat  senjata.” Kata  Seri  Nara  al-Diraja  yang  masih  cuba  memujuk  sekalian  mereka  itu.

“Kami  lebih  rela  berlindung  di sini, dari  ditembak  mati  di luar  sana.” Kata  seorang pengawal  istana  pula.
           
“Mahukah  kalian  kelak  kita  ini  bertuankan  Feringgi  yang  kafir  itu ?” Soal  Seri  Nara  al-Diraja. Sekalian yang  ada  kelihatan  diam  membisu.
           
“Ahhh  tiada  kiranya  siapa  yang  memegang  kerajaan, kami  rakyat  tetap  jua  tertindas !” Lelaki  yang  tua  tadi  menjawab  keras.
           
“Tiada  pernah  kita  menyangka  rakyat  Bentan  sebegini  rupa.” Keluh  Seri  Nara  al-Diraja  kecewa.
           
“Mengapa  harus  kita  berjuang  demi  raja  itu  sedangkan  nyawa  anak  isteri  kita  didalam  bahaya. !” Kata  seorang  lelaki   yang  sedang  mendodoikan  seorang  bayi  kecil  di dalam  dakapannya.
           
“Jika  benar  Sultan  Mahmud  itu  sayangkan  rakyatnya, menyerahlah  sahaja  kepada  Feringgi  itu. Kita  semua  tidak  akan  diapa – apakan  mereka. Menyerahlah !” Cadang  seorang  lagi  lelaki  yang  mula  melangkah  merapati  Seri  Nara  al-Diraja.
           
“Demikianlah  kata  tuan – tuan  sekalian, jika  diikutkan  tiada  bezanya  hamba  dengan  tuan – tuan.” Kata  Seri  Nara  al-Diaraja  memandang  sekalian  yang  ada. Pandangan  matanya  mencerminkan  hati  yang  sedang  kecewa. Beliau  kemudian  menyambung  semula  kata – katanya,
           
“Apa  istimewanya  yang  tuan – tuan  sekalian  hinggakan  sombong  tidak  mahu  mempertahankan  raja. Lupakah   tuan – tuan   akan  bapa  hamba  itu, siapatah  yang  membunuhnya ?! Bukankah  raja  kita  itu ?! Tetapi  sekarang  hamba  balas  dengan  berbuat  kebaktian  kepada  baginda !” Kata – kata  Seri  Nara  al-Diraja  itu  membuatkan  sekalian  yang ada  diam  dan  berfikir.
           
Tiba – tiba  terdengar  bunyi  letupan  meriam  bertalu – talu  dari  arah  luar  istana. Seri  Nara  alDiraja  menoleh. Begitu  juga  dengan  sekalian  yang  ada. Lantas  Seri  Nara  al-Diraja  mula  berlari  ke kawasan  perkarangan  istana  untuk  melihat  apa  yang  sedang  terjadi. Bunyi  meriam  kedengaran  sekali  lagi.

No comments:

Post a Comment